Subscribe Us

Things To Do in Indonesia : Danau Toba, Medan

Assalamualaikum, berjumpa lagi!

Percutian aku ke Medan ini sudah lama. Masa ini AirAsia buat promosi tambang murah, apa lagi rugi tak grabkan. Perjalanan dari Kuala Lumpur International Airport ke Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia (masa ini aku pergi pada tahun 2012 airport lama sekarang nama dan tempat Airport sudah ditukarkan kepada Kuala Namu) mengambil masa hanya lebih kurang 1 jam sahaja. Memang dekat saja rasanya Malaysia ke Medan.

Aku mengambil pakej dari Andalusia Tours & Travel selama 4 hari 3 malam untuk cover Parapat - Lake Toba - Samosir - Sipiso-piso - Brastagi - Medan. Pakej ini sudah termasuk accomodation, transport dan makan hanya perlu bawa duit untuk shopping atau tambahan saja. Bagi aku kalau nak selamat baik amik pakej untuk melancong ke Danau Toba ini sebab disini agak sukar nak mencari makanan yang halal, tapi kalau bagi backpacker tegar yang sudah biasa melancong sendiri tak apalah kira sudah expert dengan pelbagai cabaran.

Airport Polonia
Sampai sahaja kami di Airport Polonia kami terus dibawa ke Parapat dan bermalam disana. Keesokkan harinya baru kami dibawa berkunjung ke Lake Toba atau Danau Toba. Menurut Wikipedia, Danau Toba ialah tasik yang terbesar di Indonesia dengan 100 kilometer panjangnya serta 30 kilometer lebarnya. Terletak di tengah bahagia utara Sumatera, dengan aras permukaan setinggi lebih kurang 505 metter atau 1,657 kaki. Danau Toba ini terwujud akibat dari beberapa letusan besar gunung Toba dan mengubah geografi di sekelilingi menjadi sebuah tasik yang sangat besar.

(1)
Parapat

Parapat ini merupakan tempat lokasi hotel jika kita mahu ke Danau Toba. Perjalanan dari Medan ke Parapat melalui Pematang Siantar ini mengambil masa lebih kurang 6 jam. Dalam perjalanan kami singgah dulu makan tengahari di Rumah Makan (restoran) Simpang Tiga, rumah makan ini merupakan menyediakan masakan khas Minang/Melayu. Pak Supir kata di Medan ini hanya rumah makan Minang sahaja yang halal, rumah makan lain tak halal. Lauk pauk di rumah makan ini memang sedap semuanya kenalah dengan selera kami yang memang keturunan minang juga...ehehehe
Setelah selesai makan tengahari, perjalanan kami diteruskan ke Parapat dan kami juga sempat singgah kedai menjual kacang dan bepang. Kalau kat Malaysia ini macam kacang tumbuklah tapi disini kacang tumbuknya banyak perasa. Setiap kacang tumbuk itu ada nama uniknya seperti tung-tung, teng-teng, pung-pung dan lain-lain. Nama itu diperolehi melalui cara kacang itu ditumbuk, kira ikut bunyi bila kacang itu diproses. Kalau nak beli kacang-kacang ini kena beli disini sebab selepas ini tak jumpa lagi kedai ini, hanya diperjalanan ke Parapat ini sahaja jumpa kedai kacang ini. Boleh juga dibuat untuk souveniour untuk keluarga dan sahabat.
Boleh cuba rasa semua kacang itu free saja.
Pemandangan disepanjang perjalanan ini, banyak tanah-tanah yang ditanam dengan padi. Sawah padi memang terbentang luas disini. Tapi bagi aku agak menyeramkan sebab banyak nampak gereja dari Masjid, rasanya setiap 50M kawasan ini ada satu gereja. Di tengah-tengah sawah kita boleh nampak monumen yang besar, monumen itu ialah kubur. Bagi orang batak perkuburan mereka ada di merata-rata tepi rumah pun ada, ditengah sawah, ikut suka hati kaulah nak...ehehehe Menurut Pak Supir aku, disebabkan orang batak ini suka bergaduh adik-beradik bagi mengelakkan tanah pusaka mereka dijual atau jatuh ke tangan orang lain mereka akan membuat perkuburan di tanah tersebut, jadi tanah tersebut tidak boleh dijual dan dibeli.

Setelah melihat alam flora dan fauna sepanjang perjalanan akhirnya kami sampai di Parapat dan terus check in di Hotel Niagara dan makan malam di hotel tersebut. Suhu disini memang sejuk dan nyaman, suasana disekeliling hotel ini sunyi dan gelap tak banyak aktiviti boleh buat selain tidur.
Makan malam kami di Hotel Niagara, menunya khas untuk muslim.
Kolam renang Hotel Niagara, siapalah yang nak mandi sejuk gila kat sini.
(2)
Danau Toba/Lake Toba
Air di Danau Toba ini macam air laut
Kami di Hotel Niagara ini satu malam sahaja selepas sarapan terus check out dan terus ke jeti untuk ke Pulau Samosir untuk perjalanan ke Danau Toba. Feri disini tidaklah seperti feri di Langkawi. Aku rasa cuak juga naik feri ini sebab dibawah feri disumbat sepadat-padatnya dengan kenderaan motor. Di atas baru penumpang feri duduk dan melihat pemandangan Danau Toba dari atas feri sambil ditiup angin yang agak kuat sebab feri ini open air. Aku memang cemas dengan keselamatan feri ini takut karam, selain feri boleh juga menyewa speed boat untuk ke Pulau Samosir. Sila nikmati dengan tenang ya pemandangan Danau Toba dari atas feri. Memang cantik dan besar Danau Toba ini, air pun hijau dan tak nampak apa pun dalam air itu.
Rumah Raja Batak
Alhamdullilah, sampai saja di Pulau Samosir kami dibawa ke perkampungan Tomok dan disambut dengan kata "Horas" yang bermakna selamat datang bagi bahasa batak dan kami mula menjelajah sekitar perkampungan. Perkampungan Tomok ini merupakan perkampungan orang batak. Disini kubur Raja Sidabutar, rumah Raja Batak, rumah tradisional kaum batak dan banyak gerai menjual cenderahati seperti key-chain, T-Shirt ada dijual dan banyak pilihan disini.
Hari ini tour guide kami dari keturunan Raja Sidabuntar dan dia menceritakan tentang sejarah kaum batak dan kampung Tomok. Kaum batak ini ada tulisan dan simbolnya sendiri, tapi aku tak fahamlah apa yang ditulis itu. Aku perhatikan di kampung ini memanglah tak ada Astro tapi penduduknya pasang parabola tieww! Siaran satu dunia boleh tonton tanpa ada tapis...eheehehe

Setelah mengucapkan selamat tinggal di kampung Tomok, Pulau Samosir kami terus ke Berastagi.

(3)
Berastagi

Berastagi ini merupakan tempat tanah yang subur, kalau di Malaysia seperti Cameron Highland. Banyak aktiviti tanaman dan tempatnya juga nyaman dan sejuk. Memang boleh rileks dari kehidupan kita yang stress. Untuk ke Berastagi kita melalui Simarjarunjung, disini kami singgah sebentar untuk menikmati teh dan kopi, order kopi dapat free pisang goreng tau. Aku order kopi, kopi di Simarjarunjung ini memang terkenal dengan rasanya yang sedap, memang betul sedap!
Perjalanan dari Simarjarunjung kita akan melalui satu tempat air terjun yang terkenal disini, iaitu air terjun Sipiso-piso. Perjalan kami ke Sipiso-piso ini diiringi dengan hujan lebat dan banjir. Tapi kami sempat jugalah singgah bergambar di air terjun Sipiso-piso dan merupakan tempat terakhir boleh melihat Danau Toba. 
Air Terjun Sipiso-piso
Dalam perjalanan ke Berastagi ini banyak gerai yang menjual daging babi dan anjing yang diberi kod di papan tanda iaitu:

1. Anjing panggang - B1
2. Babi panggang - B2

Jadi bila berada disini kena berhati-hati ya bab makan, kalau orang tak tahu maunya termakan. Disini juga kita boleh perhatikan banyak kebun sayur dan bunga. Ditepi rumah pun mereka boleh tanam sayur dan bunga memang tak sia-siakan tanah yang ada, tanah disini memang subur. Mengikut cerita pak supir kebun disini tidak pernah dimasuki oleh pencuri kerana kebunnya di jaga oleh makhluk "halus". Patutlah tak ada yang nak curikan, tapi dalam hati aku sudah musyakil nak ke tak nak makan sayur kat Berastagi ini sebab faham-faham jelah bila makhluk halus pulak yang jadi pak guardnya. Dalam kereta kami sudah memandang sesama sendiri. Seram weh! Sebab info tadi kami sepakat tak beli seberang buah, sayur-sayuran dan bunga di Berastagi ini...kikiki

Dengan kecekapan pak supir dalam mengendalikan kenderaan walaupun dalam keadaan banjir, akhirnya kami telah selamat tiba di Berastagi. Kami bermalam di Hotel Sinabung, cantik dan selesa hotelnya. Kami makan malam disini dari pelbagai sajian yang disediakan kami hanya makan telur sahaja tak berani nak makan lauk lain...hahaha makan kena makan nanti lapar pulak kalau tak makan. Hotel ini pun tak ada kemudahan lift sama seperti Hotel Niagara, nak suruh pelancong exercise kot sebab itu tak ada lift atau takut nanti makhluk halus main lift... entah la boleh jadi jugakan. Kuat betul imaginasi aku!
Di Berastagi ini jugalah buat pertama kali aku mendengar laungan Azan dan dari bilik hotel ini boleh melihat dengan jelas gunung berapi Simbayak yang baru sebulan mengeluarkan batu kerikil, nasib baik kami sampai disini tak ada apa-apa. Kami disini hanya singgah untuk bermalam sahaja, tidur disini sangat nyaman dan lena.
(4)
Medan

Setelah sarapan kami terus check out dan menuju ke Medan. Medan ini destinasi terakhir kami dan keesokkannya sudah pulang ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan ini pak supir berkongsi info bahasa yang digunakan, seperti 'Horas' bagi orang batak di Danau Toba tapi bila di Berastagi untuk selamat datang disebut 'Menjuah-juah'. Rupanya berbeza loghat mengikut tempat bahasa batak ini.

Perjalanan ini mengambil masa 6 jam untuk sampai ke Medan. Kami sempat singgah makan durian kampung yang dijual didepan rumah saja. Rasa durian sama saja macam durian di Malaysia, harga satu biji durian RM8.00. Kami sampai di Medan jam 12.00 tengahari, kami makan tengahari dengan hidangan ikan bakar, ayam bakar, ulam dan gulai jering memang puashati makan. Tak ketinggalan dengan air jus asli yang diperah dari buah bukan pakai kordial ya!

Di Medan ini kami dibawa melawat ke Istana Maimon. Bayaran yang dikenakan untuk masuk ke Istana Maimon ini ialah 2,000 rupiah. Mari kita soroti sejarah Istana Maimun ini melalui Wikipedia.
Istana Maimun, Medan
Istana Maimun adalah istana kebesaran Kesultanan Deli dengan warna kuningnya (kuning merupakan warna kerajaan Melayu) dan khas gaya seni bina Melayu di pesisir timur. Ia merupakan salah satu mercu tanda yang terkenal di Medan, ibu kota Sumatera Utara, Indonesia.
Istana ini sebenarnya dirancang oleh seorang arkitek Itali dan disiapkan pada tahun 1888 semasa pemerintahan Sultan Makmun Al Rasyid Perkasa Alamsyah. Ia mempunyai keluasan 2,772 meter persegi, dan mempunyai 30 bilik. Binaan Istana Maimun menarik minat ramai pelancong kerana ia mempunyai binaan yang dipengaruhi pelbagai kebudayaan, dari kebudayaan Melayu, Islam, Sepanyol, India, dan Itali.

Ketika ini istana tersebut masih didiami oleh keluarga–keluarga sultan. Ruangan pertemuan, foto–foto keluarga kerajaan Deli, perabot rumah tangga Belanda kuno dan pelbagai senjata, terbuka bagi masyarakat yang ingin mengunjunginya. Di istana ini pula terdapat Meriam Puntung yang merupakan peninggalan sejarah daripada kerajaan Deli.

Satu blok dari istana Maimun kearah timur, berdiri Mesjid Raya dengan arkitek yang menawan merupakan daya tarik bagi pelancong yang berkunjung ke Medan dan sangat mengagumkan.

Begitulah sejarah Istana Maimun itu. Sekarang ini ada 15 buah keluarga yang duduk di istana ini. Di Istana Maimun ini kita diberi peluanag untuk bergambar memakai pakaian dan duduk di kerusi diRaja. 

Oleh kerana masa masih banyak lagi untuk check in hotel seterusnya, kami pergilah ke tempat shopping yang orang Malaysia selalu datang. Salah satunya Pasar Pajak Ikan, kami disini tak shopping pun cuma jalan-jalan cuci mata sahaja. Kenapa aku nak shopping di Pasar Pajak Ikan ini? Sebabnya kualiti barangnya sama saja seperti di Jalan TAR, tak payahlah nak beratkan beg untuk bawak balik material yang sama saja kualitinya :-)

Kami check in di Hotel Garuda Plaza, lokasi hotelnya sangat strategik. Betul-betul ditengah bandar Medan. 
Masa ini ada orang kahwin, penuh kat pintu masuk hotel dorang letak jambangan bunga. Kira kalau macam ini punya majlis anak orang kayalah.
Makan malam hotel tak sediakan, jadi cari saja makan disekitar hotel. Kami makan malam di Rumah Makan & Buffet Famili yang menyediakan masakan khas minang. Air teh disini manis macam lori gula tumpah...ehehehehe
(5)
Kuala Lumpur
Penerbangan kami jam 6.00 pagi maklumlah terbang dengan syarikat tambang murah :-) tapi seawal jam 4.00 pagi kami sudah bersiap untuk ke airport. Pak Supir pun sudah siap nak hantar ke airport dan buat bungkusan sarapan kami iaitu nasi goreng, itu yang aku suka ambil pakej kalau bab makan memang kenyang sentiasa...ehehehe

Kami sampai awal, kaunter untuk check in pun masih lagi belum dibuka. Nak terbang jam 6.00 pagi kaunter dibuka jam 5.30 pagi. Dasat orang sini bekerjakan, sabar jelah kalau di Malaysia haruslah sudah terima surat komplen. Tak kisahlah janji dapat sampai ke Kuala Lumpur dengan selamat, alhamdullilah!

ANEKDOT
Bagi aku cukuplah sekali saja sampai disini, tak rasa nak buat siaran ulangan tak banyak tempat menarik pun.

Catat Ulasan

0 Ulasan