Assalamualaikum semua semoga kita sentiasa dalam Rahmat dan Lindungan Allah swt.
Baru hari ini aku berkesempatan nak kongsi asas menanam sayuran daripada biji benih yang aku belajar dari FAMA.
Seronok tau bila dapat belajar menanam ini rupanya boleh menenangkan minda bila sudah nampak hasilnya. Masa datang tengok kebun belajar tu, wow memang teruja. Rasa bersemangat nak berkebun.
Di sini kami ingin berkongsi perkara-perkara asas menanam sayuran daripada biji benih.
Artikel ini disasarkan kepada mereka yang hendak bermula bercucuk tanam tetapi ianya mungkin juga bermanfaat bagi mereka yang telah lama berkebun. Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau cadangan untuk ditambah ke dalam senarai di bawah sila tulis di ruang komen.
1. Kualiti biji benih adalah penting.
Tidak semua biji benih boleh bercambah dan kadar percambahan adalah bergantung kepada kualiti biji benih tersebut. Biji benih yang berkualiti secara amnya lebih berisi atau mempunyai saiz yang lebih besar. Untuk memastikan anda mendapat biji benih yang berkualiti dapatkan dari pengeluar yang dipercayai. Biji benih yang dirawat dengan antimikrob dan antifungus juga adalah lebih baik.
2. Masa yang diambil untuk percambahan adalah berbeza
Setiap tanaman bercambah pada kadar yang berbeza. Bendi adalah antara tanaman yang mudah dan cepat bercambah. Cili pula lebih lambat bercambah dan membesar berbanding bendi. Ada juga biji benih yang akan mengambil masa yang lama atau sukar untuk bercambah. Bagi membantu memprcepatkan percambahan, rendam biji benih di dalam air untuk semalaman sebelum disemai.
3. Cara tanaman adalah berbeza mengikut jenis tanaman.
Tanaman seperti bayam dan kangkung adalah mudah untuk ditanam, biji benih boleh terus sahaja ditabur terus ke atas media tanaman tetapi pastikan jarak antara biji benih adalah tidak terlalu rapat. Bagi tanaman sayuran daun yang mengembang seperti salad dan kubis pula memerlukan ruangan yang lebih besar antara tanaman. Tanaman yang mengeluarkan buah seperti cili dan tomato pula disemai di dalam tray semaian dan kemudian dialihkan ke media tanaman seperti di dalam pasu atau di atas tanah. Bagi biji benih yang mempunyai kadar percambahan yang rendah, semai secara tabur ke atas media semaian dan kemudian alihkan biji benih yang bercambah ke dalam tray semaian. Bagi memastikan biji benih tidak kering selepas disemai, timbuskan biji benih dengan lapisan media semaian yang nipis.
4. Gunakan media semaian atau media tanaman yang sesuai.
Media yang sesuai untuk semaian biji benih adalah halus, memegang kelembapan dengan baik, mempunyai pengudaraan yang baik, dan gembur (loggar). Media semaian yang sesuai juga bebas daripada sebarang serangga perosak, penyakit (steril), dan benih rumpai. Contoh media yang sesuai untuk semaian adalah peat moss. Tanah sahaja tidak sesuai digunakan untuk semaian biji benih kerana ianya tidak steril, terlalu berat, dan tidak mempunyai pengairan yang baik. Media tanaman yang baik pula adalah seperti tanah campuran yang kaya dengan bahan organik, mempunyai pengudaraan dan pengairan yang baik, tahap pH yang optimum dan nutrien yang mencukupi dan seimbang.
5. Pastikan media sentiasa lembap semasa proses percambahan.
Percambahan bermula apabila biji benih menyerap air dan akar akan mula tumbuh untuk mendapatkan nutrien dan air. Pada peringkat percambahan, adalah penting untuk memastikan keadaan yang sesuai untuk pertumbuhan anak benih kerana pertumbuhannya amat mudah terjejas apabila kekurangan air atau terlalu panas. Sebaiknya air perlulah mencukupi sepanjang tempoh percambahan tanpa perlu ditambah. Satu cara untuk mengekalkan kelembapan adalah dengan memasukkan tray semaian ke dalam plastik sehingga biji benih bercambah.
6. Cahaya adalah penting selepas percambahan.
Untuk memastikan keadaan yang sesuai bagi percambahan biji benih, biji benih kebiasaannya disemai di dalam keadaan yang redup dan tidak panas. Tetapi selepas biji benih telah bercambah, anak benih tersebut perlu didedahkan kepada cahaya matahari. Kekurangan cahaya selepas percambahan akan menyebabkan anak benih tumbuh panjang dan kurus. Cahaya matahari pagi adalah mencukupi untuk memastikan anak benih tumbuh dengan baik.
7. Tanaman perlu dijaga.
Penjagaan juga adalah penting selepas anak benih telah membesar dan terdapat 4 perkara yang perlu diutamakan iaitu, cahaya, air, nutrien dan kawalan perosak. Tanaman memerlukan cahaya yang mencukupi sekurang-kurangnya 4-5 jam cahaya matahari terus tetapi ianya juga bergantung kepada jenis tanaman, ada yang tidak perlukan banyak cahaya dan ada yang perlukan banyak cahaya. Air juga perlu dipastikan mencukupi untuk tanaman, kekerapan siraman adalah bergantung kepada keadaan cuaca. Pembajaan perlu dilakukan untuk memastikan tanaman tumbuh segar dan mengeluarkan hasil yang memuaskan, pembajaan kebiasaannya dilakukan setiap 2 minggu.
Kawalan perosak juga penting dan ianya bukan sahaja perlu dilakukan apabila sudah terdapat serangan tetapi kawalan juga perlu dibuat untuk mengelakkan serangan perosak. Contoh kawalan perosak adalah dengan menggunakan semburan kawalan perosak dan kawalan secara biologi iaitu salah satunya dengan menanam tumbuh-tumbuhan yang dapat menarik pemangsa bagi perosak-perosak tanaman.
Credit : Kebuna
Photo : Urban Farm Maybank
💗💗💗
0 Ulasan
komen yang molek-molek saja ya