Assalamualaikum,
Cerita tentang novel Surat Ungu Untuk Nuha. Ceritanya ada suka, tersenyum, sedih dan bahagia, tapi kali ini aku tak ulas pun novel ini tapi nak kongsi cerita tentang bulan ramadhan antara Alang dan Nuha. Aku memang suka sangat cerita ini sebab bahasanya dan jalan ceritanya yang santai disamping ada teladan yang boleh kita ambil.
Kisahnya seperti ini:
Blurb!
hendak terbang bukannya burung
hendak berenang bukannya sotong
"NAK beli kain warna apa untuk baju Melayu Ku Chik raya nanti, Alang?" Walaupun Ku Chik tu orang timun, Mak Chik Raja sekeluarga tetap membelikannya baju raya. Kasihan anak malang itu, bondanya pun jarang ziarahnya di sini.
Mujurlah dia di sini disayangi ramai. Ini pukul tiga dah, wajah anak cerdik itu tidak kelihatan lagi. Pagi tadi Te'ah ambil bawa balik di rumah Abang Lah. Ku Chik yang sudah pandai bercakap itu memang pandai ambil hati semua orang, mana tidaknya dia menjadi rebutan ramai. Sayang, bondanya sahaja yang tidak mahu mengakui kelebihan yang Allah beri pada anak yang tidak pernah menyusahkan orang itu.
"Alang..." seru Nuha lagi.
"Sama dengan kitalah, hijau." Kata Alang sambil mengira jumlah guni-guni padi-padi yang dituai minggu ini pada Excel di skrin komputer. Matanya masih pada kalkulator di komputer, isterinya yang kecil manis itu hanya dipandang sekilas. Kenapalah Nuha ni. Mukanya keruh sahaja sejak solat tarawih semalam. Fasal hal itukah?
Nuha memandang sawah padi di depannya. Geramlah dekat Alang ni, dia sayangkan sawah padi tu lebih pada anak isteri. Dulu-dulu romantis la juga. Kalau dulu warna hijau tidak memadai pada Alang, mesti dinyatakan: hijau lumut, hijau serindit, hijau air tebu, hijau limau, hijau padi, hijau katak puru... hijau Alang ada 20 warna, macam orang Eskimo juga... yang ada spektrum warna putih sampai 100 jenis tu, mungkin.
Alang sudah hilang bisa Sasterawan Negara dia; hilang segala sifat metafora dan melankolik yang pandai mencipta segala puisi meruntun jiwa. Alang itu bagaikan ayam yang sudah hilang tajinya... kenapa?
"Raya di Kajang tahun ni, ya?"
Alang masih tidak menjawab.
"Diam maknanya setuju la tu!" balas Nuha cepat-cepat. Walaupun dia tidak rapat sangat dengan keluarganya kecuali dengan ayah dan Kak Tasya, tetapi kalau masuk bab raya, Nuha ingin balik kampungnya ooopss.... balik 'bandarnya'. Sebab tiap-tiap hari mereka sudah 'balik kampung' Alang di sini, jadi sudah jadi tradisi orang Melayu, raya tu mesti balik kampung.
Lagu Balik Kampung nyanyian Sudirman Haji Arshad sedang berkumandang di Sinar.FM buat semangat Nuha membuak-buak ingin pulang!
"Nuha tak seronok tinggal sini?"
Mata Alang berpaling dari skrin komputer dan menatap wajah Nuha yang indah itu dengan penuh tanya. Selama ini dia rasakan Nuha suka tinggal di kampung mereka ini. Selama ini dia ingatkan inilah rumah Nuha, dan emak itu bagaikan emak Nuha sendiri. Alang perasan, Nuha tidak begitu rapat dengan ibunya Puan Shahirah berbanding betapa akrabnya Nuha dengan emak Alang, Hajah Kamariah a.k.a Mak Chik Raja tu.
Jadi, kenapa pula?
Nuha menggeleng.
"Habis tu?" soal Alang lagi.
Alahai, mana perginya Alang yang ceria, sangat sensitif pada persekitaran dan penuh humor dulu tu. Begitu sahaja soalan dia.
"Alang dah tak sayang kat Nuha!"
"Aittt? Awat pula kata lagu tu?"
Nuha membuang mukanya pada Suria dan Suci, itik-itik putih kesayangan Alang yang sedang berenang dalam kolam dekat dengan rumah Mak Cik Raja. Itik-itik putih itu sudah dewasa kedua-duanya, malah mereka sudah pun ada anak-anak sendiri. Suria dan Suci sentiasa ke sana ke sini berdua-duaan – romantis – dan kadang-kadang tu dengan anak-anaknya berderet.
Tapi Nuha...
Kenapa Nuha, apa yang tak kena?
Nuha masih berdua dengan Alang. Sudah hampir empat tahun perkahwinan mereka, dan mereka masih berdua.
"Berapa tahun dah kita kahwin Alang."
"Lagi 88 hari, genap 4 tahun."
Amboi, siap boleh kira sampai genap-genap hari pula Alang ni. Takkan untuk faham arah soalan Nuha tak tahu pula.
"Kita masih berdua."
"Mana pula berdua, kita ada Ku Chik. Kita ada emak, abah dan..."
"Ya, bertiga..." cepat-cepat Nuha menambah. Susahlah cakap dengan orang tak reti bahasa ini. Sebagai pembantu bidan, Nuha selalu sahaja 'terharu' menyambut anak-anak yang baru lahir. Dan dia sentiasa berdoa satu hari dia sendiri yang merasai rasa bahagia seperti ibu-ibu yang mendapat 'hadiah' istimewa daripada Allah itu juga.
Dia rindu jadi ibu seperti saudara-saudara Alang: Kak Huda, Abang Zahran dan Baya.
Nuha diam tiba-tiba.
Kak Bila sudah ada dua orang anak, Kak Tasha pun sudah menambah dua orang cahaya mata. Di rumah Mak Cik Raja hanya dia seorang sahaja yang belum ada anak sendiri. Setiap kali ada majlis apa-apa orang akan sahaja bertanya, "Nuha bila lagi." Orang tidak pernah bertanya, "Alang bila lagi?"
Geram.
Tapi Alang begitulah. Mana dia ada perasaan, apabila orang tanya... dia buat bodoh dan biarkan Nuha menjawab. Geram tau.
Nuha tengah geram ni.
"Nuha, anak itu anugerah. Dan benda itu bukannya benda yang kita boleh order dan dapat bila-bila kita mahu. Anak itu, Allah beri. Dan 'suka hati' Allahlah Dia mahu memberi pada siapa, dan sekiranya Allah tidak mahu beri pada kita, bukannya bermakna Allah tak sayang kita. Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita." Tiba-tiba Alang bersuara di belakang Nuha yang sedang menonton Suria dan Suci bersenda gurau dalam kolam.
Tahu, Nuha tahu... tapi... mulut orang tu, Nuha tak tahan!
Mata Nuha berair. Semalam emak saudara Alang bertanya kuat-kuat depan semua orang sewaktu berbuka puasa, 'Nuha ni entah bila nak boleh berdukung anak sendiri, asyik duk mendukung anak penakan sahaja'. Waktu itu Nuha sedang meriba anak Baya... adik Alang itu balik berpantang di rumah Mak Cik Raja. Baya yang masih belajar jurusan Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris itu lahirkan anak kembar – sepasang. Comel sangat!!!
Dalam hati, Nuha mengharapkan Baya benarkan dia jaga bayi-bayi tu sehingga Baya habis belajar. Tetapi Nazrin sudah tetap hati akan cari orang jaga bayi-bayi mereka tu dan menyewa rumah untuk Baya tinggal di situ, sehingga Baya habis belajar. Nuha sedih sangat. Tiada siapa yang faham hati keibuannya. Kenapa orang tidak nampak dia sebagai insan yang dapat jaga Aqil dan Alisha tu.
"Nuhaaaa... dengar tak apa yang Alang cakap ni?"
Nuha mengangguk.
"Dah jom kita pergi jalan-jalan macam Suria dan Suci, naik motor nak... kita bersaing-saing pergi Pantai Merdeka. Lambat lagi nak berbuka ni." Kata Alang sambil memerhati jam di dinding rumah.
Alang menyimpan semua invoisnya dalam laci dan menarik tangan Nuha ke depan. Saat ini dia sudah mulai faham sangat apa yang tertanam dalam hati Nuha. Sejak balik berbuka puasa rumah emak semalam Nuha diam sahaja. Kasihan Nuha. Orang kalau hendak bercakap tu bukan fikir, anak itu Allah yang beri, bukannya macam beli baju di kedai boleh main pilih-pilih bila kita hendak beli, berapa kita hendak dan kita hendak warna apa. Tapi beli baju di kedai pun, kalau tidak ada duit tak dapat membeli juga kan.
"Nuha."
"Tak apalah, Nuha hendak pergi rumah emak, tolong apa yang patut... kasihan emak tak ada siapa yang menolong."
"Nuha... tengok orang nak ajak pi jalan-jalan pun tak mahu."
Nuha tersenyum tawar.
"Nuha, bahagia itu bukannya apa yang orang nampak... tapi apa yang kita rasa." Kata Alang.
Nuha mengangkat mukanya, dan mereka saling berpandangan. Dia pernah dengar kata-kata itu, tapi di mana ya. Rasanya dalam novel ni!
"Ya, Nuha bahagia."
Alang senyum, dan menghadiahkan sepucuk surat yang dia ambil atas laci di ruang tamu. Di dalamnya berisi sajak, terharunya Nuha: 'Terima Kasih Kerana Masih Menjadi Pantaiku' cepat-cepat membaca dan air matanya sudah menderu. Tiba-tiba...
"Alang... apa maksud ini...
aku ini laut, pantai
kau pun tahu
aku tertambat
aku terikat
dan terantai
pada bentuk dan fitrah yang ditulis Tuhan untukku…"
kau pun tahu
aku tertambat
aku terikat
dan terantai
pada bentuk dan fitrah yang ditulis Tuhan untukku…"
Alang sudah tersengih.
"Mesti di belakang Nuha, Alang main kayu tiga ni…" kata Nuha sambil matanya membulat geram.
"Nuha, fitrah lelaki memang macam tu." Usik Alang, air mata Nuha sudah menderu lagi. Dia tahu Alang mengusik, tetapi dia tetap sedih kerana dia perempuan yang tidak boleh melahirkan zuriat lagi. Suatu hari, tentu benda yang ditakutinya itu akan terjadi juga.
"Nuha, maaf-maaf... Alang main-main sahaja."
Sebetulnya, dia hanya sayang Nuha seorang sahaja. Sajak itu, Alang tulis kerana akhir-akhir ini dia sibuk dengan kerja-kerjanya – dia melukakan dan mengabaikan Nuha. Tapi musim padi masak dan musim padi dituai sudah semakin sampai ke penghujungnya, dia akan beri lebih masa untuk Nuhanya. Dia ingin bawa Nuha melancong ke Hobart. Dia ingin Nuha lihat Laut Tasman yang cantik dan indah; dia ingin Nuha berkongsi pengalamannya di sana. Tahun ini tiada lagi bulan madu atas kereta api!
"Alang kalau sampai tua kita hanya berdua, Alang kahwin lain tak."
"Sudah-sudahlah Nuha, jom kita bertadarus. Janji kan hendak khatam puasa ni? Sudah 14 hari puasa, baru lima juzuk ni!"
"Alang..."
"Alang hanya sayang Nuha seorang. Kalau kita hanya berdua, insya-Allah sampai mati pun Alang dengan Nuha sahaja." Cepat-cepat Alang meningkah. Itulah yang ada pada hati Alang saat ini, sumpah!
Alangkah tamaknya Nuha kan, tak benarkan Alang jatuh hati dan berkahwin dengan perempuan lain yang lebih sempurna!
"Alang, kalau Alang hendak kahwin lain pun tak apa..."
"Nuha ni kenapa? Betulkah... "
"Tak tau, tapi Nuha sedih."
"Kahwin lain? Kalau dengan Julia yang jual tepung gombak depan tu, okey tak? Atau dengan Mazurah anak Lebai Kudin? Ooo, tapi... Yati yang kerja dengan Pejabat Tanah tu, sesuai dak? Haa, Peah anak Pak Lang Hassan?"
"Amboiiii, banyaknya anak dara dia kenal dalam kampung ni rupa-rupanya." Nuha mencubit dan kemudian tarik muka masam.
"Orang nak pergi rumah emak." Kata Nuha sambil mengenakan tudung, dan bergerak ke dapur pula. Sajak Alang dia simpan dalam saku baju kurungnya. Nanti dia akan baca sekali lagi.
"Adik Sahlan pun okey juga, dia kerja doktor dekat Bertam."
"Meluat."
"Nuhaaaa... tadarus ni?"
"Nuha buat dengan emak saja. Pergilah tadarus dengan Julia, Mazurah, Yati, Peah, adik Sahlan ke..."
"Amboi terang hati aiih, sekali sebut... hafal semuanya nama makwe Alang dia."
Nuha semakin cemberut.
"Nuha." Alang menghalang Nuha membuka pintu dapur, tiap-tiap hari rumah mereka tidak berasap, kerana Mak Cik Raja ajak mereka berbuka di rumahnya. Kadang-kadang dibekalkan makanan untuk sahur juga.
"Alang minta maaf, boleh?"
Nuha diam.
"Alang sayang Nuha sorang, boleh tak kita jangan diskus lagi fasal ni. Biar Alang cakap, Alang sibuk dan kerja bersungguh-sungguh sebab nak bercuti... Alang nak bawa Nuha jalan-jalan ke Tasmania."
Nuha sudah boleh tersenyum.
Alang ke meja dan menarik laci. "Ini tiketnya, bulan November nanti. Sempena ulang tahun perkahwinan kita yang keempat."
Senyuman Nuha sudah semanis air tebu Pak Abu di simpang jalan itu.
"Terima kasih, Alang."
"Sayang kat Alang dak?"
Nuha sudah merah mukanya. Tanya soalan pun tak logik Alang ni, yang orang berendam air mata tadi tu sebab sayang la.
"Jawab!"
Nuha semakin malu.
---------------
ps: Inche Housemate, maaf rompak lagi karya Inche ya
0 Ulasan
komen yang molek-molek saja ya