Subscribe Us

Tips Penjagaan Buku

Assalamualaikum,

Hari ini aku nak berkongsi tentang penjagaan buku yang aku perolehi tipsnya dari baca disini.
Bas Cafe-Bandung
Bagi pencinta dan pengumpul buku aku pasti tips ini dapat membuka minda untuk menyimpan koleksi buku dengan lebih teratur dan baik. Buku ini pun ada nilai juga untuk jangka masa 10 tahun akan datang kerana boleh dijadikan koleksi 'rare' dan boleh juga buat duit jika buat bidaan. Siapa tahu buku yang kita simpan selama ini rupanya ada nilainya nanti 😊

Penjagaan buku amat penting untuk para pencinta buku, supaya koleksi buku mereka akan sentiasa kelihatan cantik dan juga dapat mengekalkan nilai yang tinggi terutamanya untuk buku-buku ‘collectible’ atau edisi pertama. Buku yang dijaga rapi dapat mengelakkan kemerosotan dari segi fizikal buku tersebut, membolehkan ia disimpan lebih lama untuk bacaan kita dan anak-anak kita di masa depan dan juga lebih mudah mencari pembeli jika ingin dijual dalam pasaran buku terpakai.

Penerangan ringkas ini dibahagikan kepada dua bahagian, yang pertama ialah untuk mengetahui komponen-komponen dan keadaan yang akan menyebabkan kerosakan pada buku. Di bahagian kedua pula adalah tip-tip dan cadangan bernas untuk penjagaan buku.

Apa yang boleh menyebabkan buku rosak:

1)  Suhu dan kelembapan tinggi
2)  Habuk yang terkumpul
3)  Air
4)  Cahaya matahari atau komponen ultraviolet
5)  Serangga atau haiwan perosak
6)  Manusia atau ‘homo sapien’
7)  Cara pengendalian buku yang salah
8)  Tempat dan cara buku disimpan

Tips dan cadangan agar koleksi buku anda tahan lama, tidak cepat lusuh atau rosak.

Semasa Membaca

1)   Pastikan tangan anda bersih, jika ada kekotoran atau berair boleh meresap ke dalam helaian kertas dan meninggalkan kesan kotoran atau kelembapan. (buku resepi mungkin sukar dielakkan).

2)   Semasa sedang bersantai membaca buku sila jauhkan gelas minuman dan jangan makan karipap sambil membaca.

3)  Bila ingin berhenti, jangan biarkan buku terbuka menghadap permukaan, ini boleh menyebabkan ‘binding’ rosak atau berkedut terutamanya buku berkulit lembut. Sila gunakan 

Penanda Buku

1)  Juga jangan tandakan halaman dengan melipatkan hujung kertas. Guna penanda buku jugalah.

2)  Jangan tulis apa-apa pada buku terutamanya pen dan highlighter. Jika terpaksa juga, gunakan pensel yang paling halus. Kalau anda student pastikan buku itu buku teks sebelum menulis dengan pen atau menanda dengan highlighter. Disebabkan terbiasa, anda mungkin terlupa buku yang anda sedang baca adalah sebuah novel. Pastikan juga buku itu buku pinjaman dan bukan buku anda sendiri.

3)  Jangan membaca sambil memandu kereta kerana boleh menyebabkan kemalangan jalanraya.

Penyimpanan Buku

1)  Buku paling elok disimpan di rak buku. Susunan buku pula sepatutnya didirikan (bahagian ‘spine’ iaitu tulang belakang buku yang mempunyai tajuk menghadap luar).

2)  Pastikan ada ruang diantara buku dan dinding rak tersebut. Cara pengendalian, buku-buku bersebelahan ditolak sedikit ke dalam, buku yang ingin diambil kemudiannya dicengkam pada bahagian depan dan belakang dan tarik keluar. Elakkan daripada menarik keluar dari bahagian atas buku.

3)  Rak buku elok diletakkan di ruang atau bilik yang gelap dirumah anda. Rak buku sama sekali tidak patut diletakkan menghadap tingkap dimana cahaya matahari boleh menjamah koleksi buku anda. Buku akan menjadi kekuningan lebih cepat.

4)  Jika anda dari golongan berada, buku elok diletakkan di bilik yang mempunyai penghawa dingin atau pendingin hawa, dan dibiarkan terpasang sepanjang masa. Ini adalah fakta; buku terdiri dari kertas yang bersifat organik (bahan karbon). Disebabkan ini, buku akan bertindak balas secara kimia dengan cepat jika berada di dalam suhu dan kelembapan yang tinggi. Jika anda tinggal di Chuping, Perlis, disarankan anda berpindah ke arah selatan serta-merta demi buku-buku anda.

5)  Pastikan rumah bersih dan bebas serangga perosak seperti lipas dan anai-anai. Terutama sekali bebas tikus. Tikus dilahirkan tanpa kemahiran membaca, tetapi mahir menggigit kertas.
Jika ruang rak buku sudah dipenuhi, buku boleh disimpan di dalam kotak. Kotak pula perlu bersaiz kecil atau sederhana untuk mengelakkan sakit tulang belakang ketika mengalihkan kotak. Cara susunan sama seperti di rak buku. Seeloknya beli sahaja rak buku baru atau jual sebahagian buku anda. Buku yang disimpan terlalu lama didalam kotak yang tidak ditutup rapi akan bertindak balas kimia dan dirosakkan oleh haiwan perosak seperti diatas

Antara tempat-tempat penyimpanan buku yang sama sekali patut dihindarkan:

1)  Diluar rumah seperti di anjung, diatas bumbung, di atas pokok, tempat meletak kereta. Didalam rumah seperti di dapur, di dalam tandas, ruang di atas siling, Ditinggalkan di dalam kereta ketika parkir di bawah panahan terik matahari. Di Chuping, Perlis.

2)  Pembersihan perlu dilakukan sekali-sekala pada buku dan rak buku anda. Gunakan alatan khas seperti bulu ayam untuk membersihkan habuk yang terkumpul pada bahagian ‘edges’ iaitu bahagian hujung kertas bila buku tertutup rapat. Pastikan rak buku telah kering sepenuhnya sebelum meletakkan buku kembali sekiranya anda telah mengelap menggunakan kain basah pada rak tersebut.

Catat Ulasan

0 Ulasan